CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Thursday, December 18, 2008

Usah Risau Jika Belum Berpunya

Resah. Gelisah. Seraut wajah termenung jauh. “Orang lain semua dah kawin, tinggal aku sorang saja.” Sekeping hati bermonolog. Monolog itu disusuli tujahan prasangka.

“Aku tak cantik ke?”
“Aku kurang bergaya ke?”
“Ataupun pasal gaji aku tak seberapa?”
“Aku tak pandai meng‘ayat’ agaknya.”

Mungkin begitulah kerisauan yang memberat di minda muda mudi yang belum berpunya. Rasa rendah diri, stres dan gejolak rasa ingin memiliki membuatkan mereka berusaha memenangi hati dan memiliki seseorang tanpa mengenal batas halal haram. Yang penting, dapat.
Pilu hati ini melihat remaja yang merana kerana cinta. Pilu kerana walaupun mereka sudah merasai peritnya penangan cinta dusta, mereka masih tak mampu mengarah diri mencari cinta hakiki. Tak serik-serik lagi. Diri diperhamba menagih cinta sementara hingga sanggup berkonflik dengan Pencipta cinta. Semua batasan-Nya diredah segala. Tak kenal dosa pahala.
Oh, remaja!

Cinta sebelum kawin itu hanya menjerumus kelembah dosa dan zina. Jika mampu bertahan ke jinjang pelamin sekalipun, percayalah bahawa rumah tangga itu takkan berkat. Apa tidaknya, asasnya dibina daripada dosa dan maksiat. Mana mungkin dapat menegakkan tiang takwa yang utuh kecuali dinaik taraf dengan taubat. Rumah tangga akan menjadi tawar dan hambar. Semuanya dah dirasa dan terbiasa, nak rasa nikmat apa lagi? Anak-anak menjadi mangsa. Terimalah ini sebagai hukuman di dunia. Amat pedih. Namun, terlalu sedikit berbanding pedihnya hukuman abadi di negeri sana.

Ku hembus nasihat ini kepadamu hai remaja tanda sayangku tak terhingga. Bagi para gadis yang belum berpunya, andalah pilihan-pilihan Allah untuk masih mekar terpelihara sehingga tiba pula giliran anda mendapat seruan, yakinlah.
Jagan risau jika masih belum berpunya kerana mungkin Allah ingin bagi ketenangan dulu buat anda untuk terus melangkah menggapai cita-cita. Usah peningkan kepala. Dia menguji anda sedikit masa lagi.

Begitu juga buat pemuda yang belum berpunya, “first thing first”. Utamakan yang lebih penting daripada apa yang penting. Kenali prioriti anda sekarang. Jika memang dah sampai saat nak memiliki, tabahlah dan teruskan berusaha. Ingat, pastikan waktu nak berusaha tu anda memang dah betul-betul mampu dan sedia.

Memiliki seorang isteri solehah ibarat memiliki dunia dan seisinya. Sudah tentu jalan untuk mendapatkan sesuatu yang istimewa amat berliku dan banyak cabaran. Jangan putus asa. Rasa mulialah dengan usaha yang dicurahkan walaupun pinangan pernah ditolak. Usah rasa malu dan terhina kerana Allah menilai setiap usaha selagi berjalan di landasan-Nya. Teruskan berusaha!
Ingat! Usaha yang Allah redha saja. Bagaimana? Dengan sms siang malam? Atau bergayut di telefon memanjang? Atau ajak keluar, belanja makan? Begitukah?

Berusahalah menyediakan diri dan pikatlah ibu bapanya terlebih dahulu, itu tip memikat wanita beriman. Sebaik-baiknya gunakan orang perantaraan untuk lebih menjaga warak dan iman.

Seringkali, seseorang mencari kekasih ibarat dia mendaki gunung yang tinggi. Pepohon berduri sanggup diredah, curam dan jurang sabar ditempuh. Namun, apabila dia memilikinya, didapati insan yang dikejar itu dedaun kering cuma. Begitulah perumpamaan sia-sianya usaha yang tak disalur dengan suluhan petunjuk al-Quran dan Sunnah.

Beringatlah, urusan jodoh tak ke mana. Sudah sedia tercatat seungkap nama di Loh Mahfuz untuk kita. Ianya urusan yang pasti. Apa yang tak pasti, sama ada kita mendapatkannya cara mulia atau sebaliknya.
Fatimah Syarha,
Solusi.

Bilakah doaku akan dimakbulkan?

Apabila Allah cepat makbulkan doamu, maka Dia menyayangimu...

Firman Allah, maksudnya: “Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu mereka): Sesungguhnya Aku sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanKu dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul” (Surah al-Baqarah:186)

Apabila Dia lambat makbulkan doamu, Dia ingin mengujimu...

Menurut al-Khatabi: “Jika Allah tidak menjawab doa seseorang, Dia akan memberikan kepadanya ketenangan dan kelapangan dalam hatinya atau mengelakkan dirinya daripada kecelakaan, atau menggantikannya dengan pahala.”

Menurut hukama: “Manusia menyangka doa mereka tidak dimakbulkan, sedangkan sebenarnya ia dimakbulkan melebihi daripada apa yang dipohon, atau ia menolak dengan musibah atau penyakit lebih banyak daripada apa yang dipinta, atau diberikan ganjaran pada hari Kiamat.”


Apabila Dia tidak makbulkan doamu, maka Dia merancang sesuatu yang lebih baik untukmu...

Firman Allah, maksudnya: “Boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jua Yang Maha Mengetahui (semua itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah: 216)

Oleh itu, sentiasalah bersangka baik pada Allah

Firman Allah s.w.t, maksudnya: “Aku bersama sangkaan hambaKu terhadapKu, maka bersangka tentangKu apa sahaja yang kamu ingini.” (Hadis Qudsi)


Solusi...

Wahai Wanita...

Wahai wanita tidak bertudung,
Sungguh cantik alunan rambut mu,
Bebas menggerbang kemas terikat,
Terserlah di bawah cahaya mentari,
Mentari dunia yang tak sehebat neraka,
Iaitu api yang kan membakar rambut mu,
di hari akhirat hari penentu,
maka hanguslah segalanya,
hilanglah cantik alun rambut mu,
tiada lagi yang menggerbang,
tiada lagi yang terserlah.
Oleh itu jadikanlah diri mu,
Sebahagian daripada wanita-wanita yang bertudung.

Wahai wanita yang bertudung,
Sungguh cantik alas kepala mu,
Ringkas pendek tersempang rapi,
Tersembul jambul tertutup dahi,
Terserlah lah bentuk tubuh,
Mengapa tidak dilindungi?
Rimaskah dengan tudung labuh ke dada?
Panaskah dengan pakaian sedemikian rupa?
Tidakkah kau ingat,
Kepanasan api neraka itu lagi hebat membakar,
Menjilat rentung kesemua mereka yang ingkar,
Mereka itu wanita yang tak bertudung,
Kau tidak ubah seperti mereka walau bertudung,
Oleh itu jadikanlah dirimu,
Sebahagian daripada mereka yang bertudung,
Bertudung labuh hingga ke paras dada.

Wahai wanita bertudung labuh,
Sungguh cantik terlindung rambut mu,
Sungguh ayu tertutup bentuk tubuhmu,
Yang terzahir jelas gaya kesopananmu,
Mengaburi segala yang tersirat di hati,
hanya diri sendiri yang menghakimi,
mungkin suci ikhlas kerana Illahi,
atau berdebu dengan sebab duniawi,
riak wajah nampak tawadhu’,
riak jiwa rupanya menunjuk-nunjuk,
alangkah ruginya andai benar begitu,
kerna azab masih tak terlepas dari mu,
serupalah sahaja diri mu ditunggu,
diseksa tidak ubah seperti wanita tak bertudung,
sama dengan mereka yang menyempang tudung,
oleh itu jadikanlah dirimu,
sebahagian daripada mereka yang bertudung,
bertudung labuh hingga ke paras dada,
tersemat jua bersamanya rasa taqwa.

Wahai wanita yang bertaqwa,
Andai kau telah sampai ke tahap ini,
Dengan akhlak mahmudah terpahat di hati,
Syariat islam sebati dalam diri,
Maka layaklah dikau mendapat ganjaranNya,
Yang dijanjikan di akhirat nanti,
Dan tatkala di dunia ini lagi,
Muslimah solehah kau digelari,
Menjadi idaman setiap muslim soleh,
Yang sukar sekali untuk diperoleh,

Wahai muslimah solehah pula,
Jadilah mukminah mujahidah,
Mujahidah yang akan menyeru,
Agar ditinggalkan dirinya yang dahulu,
Mujahidah yang akan berdakwah,
Agar diri dan umat berubah,
Mujahidah yang akan mengajak,
Agar islam kembali tertegak.

Dengarlah wahai wanita..Sahutlah seruan
ini..


Lelaki

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mendongak megah,
Lelaki kami Asadullah, Saifullah,
Tokoh ramai tak terkira,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya menunduk lemah,
Tokoh kami sedikit sekali,
Ramainya, boneka Yahudi.

Dulu,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya tenang di hati,
Lelaki kami menjaga, melindungi,
Kini,
Bila disebut lelaki,
Wanitanya mahu cabut lari,
Lelaki khianat, perogol bersiri.

Dulu,
Bila seorang wanita teraniaya,
Sepasukan kuda putih membela,
Al-Mu’tasim kebanggaan wanita,
Kini,
Ribuan wanita suci dipenjara,
Fatimah diperkosa minta dibela,
Lelaki tunduk tak bertenaga.

Dulu,
Bila wanita di bawah jagaannya,
Lelaki memagari sehabis daya,
Tiada siapa berani menggoda,
Kini,
Bila wanita dibawah jagaannya,
Lelaki tak kisah auratnya terbuka,
Wanitanya dibiar bebas, binasa.

Dulu,
Lelaki menggadai harta dan nyawa,
Untuk mengangkat kemuliaan agama,
Kini,
Lelaki menggadai ketinggian agama,
Demi nafsu, dunia dan seisinya.


Dulu,
Lelaki bermatian mencipta sejarah,
Kental berjihad, tekun berdakwah,
Kini,
Lelaki hanya menyanjung sejarah,
Diri bermalasan, tenaga tak dikerah.

Dulu,
Lelaki memperjuangkan deen dan ummah,
Al-Farouq, Zunurain mati terbunuh,
Kini,
Lelaki memperjuang diri dan kroninya,
Hingga sanggup membunuh.

Dulu,
Lelaki bersatu menghadapi musuh,
Angkatannya kuat dan teguh,
Kini,
Lelaki berpuak dan berpecah,
Sesama sendiri saling telingkah.

Kembalilah lelakiku,
Pada kelelakianmu,
Kami rindukan lelaki dulu,
Acuan Madrasah Rasul.


Fatimah Syarha,
Syabab musafir kasih...